Jaja Kisah Suami Malas

2.6.10


KUALA LUMPUR: Setiap kali bertemu bakal ‘mangsa’, wanita berusia 38 tahun ini akan menjaja kisah sedihnya yang terpaksa bekerja keras mencari duit untuk menyara dua anak kerana mendakwa suaminya malas bekerja.

Kisah sedih hidup ditambah kepetahan bercakap mengenai peluang pelaburan dan tawaran memperoleh projek besar menyebabkan ramai ahli perniagaan terpedaya sejak empat tahun lalu.

Taktik itu memberi kesenangan kepada wanita terbabit apabila mampu hidup mewah dengan memiliki beberapa kenderaan dan rumah selain melunaskan pelbagai hutang yang mencecah ratusan ribu ringgit.

Setakat ini, 15 ahli perniagaan di Kuala Lumpur dan Selangor menjadi mangsa tawaran projek ‘hantu’ dan pelaburan skim cepat kaya wanita itu yang kononnya mampu memberi pulangan berlipat ganda.

Wanita terbabit juga memperoleh lebih RM500,000 daripada kegiatannya dan menjadikan sebahagian wang itu sebagai modal perniagaan diusahakannya sejak setahun lalu.

Bagaimanapun, perbuatannya terbongkar apabila dia ditahan Selasa lalu oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras diketuai Inspektor Mohd Mahatir Abdullah di rumahnya di Alam Damai, Cheras di sini, selepas kegiatannya dilaporkan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abd Ghany, berkata siasatan awal mendapati, wanita itu hanya bermodalkan ‘ayat power’ untuk meyakinkan mangsa melabur dalam projek diusahakannya seperti membekalkan komputer riba kononnya mahu berkongsi keuntungan.

“Kebanyakan mangsa mempunyai perniagaan sendiri dan mereka akan diyakinkan suspek untuk mengeluarkan modal mencecah ratusan ribu ringgit.

“Mangsa terpedaya apabila suspek memberikan cek kononnya pulangan awal yang dilaburkan, namun sebaik cek itu ditunaikan, mereka mendapati ia cek tendang kerana akaunnya sudah ditutup,” katanya ketika ditemui, semalam.

Izany berkata, kebanyakan mangsa terpedaya selepas suspek menjual kisah malang kononnya mempunyai hutang keliling pinggang kerana bersuamikan lelaki pemalas serta terpaksa menanggung dua anak yang menuntut di institut pengajian tinggi (IPT) dan seorang lagi yang masih bersekolah.

“Selepas menjaja cerita sedih itu, mangsa mendakwa boleh mendapatkan peluang dan kelulusan segera tender serta kontrak kerajaan seperti membekalkan komputer di sekolah serta penajaan beberapa kursus syarikat korporat bernilai puluhan ribu ringgit.

“Ada yang ditawarkan sehingga lima projek bagi satu masa menyebabkan mangsa teruja apatah lagi dijanjikan pulangan pelaburan tinggi hingga sanggup menyerahkan ribuan ringgit sebagai modal mendapatkan projek ‘hantu’ terbabit,” katanya.

Namun, menurut Izany selepas berbulan-bulan menunggu, suspek gagal dihubungi menyebabkan mangsa berputih mata kerana wang pelaburan mereka hilang.

“Wanita terbabit kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Polis meminta mereka yang menjadi mangsa penipuan wanita ini supaya membuat laporan supaya tindakan tegas akan dikenakan terhadapnya kerana menipu orang ramai,” katanya.

7 conteng-conteng:

Nida berkata...

Macam-macam cara untuk mewah... bagi Nida biarlah besederhana dalam apa2 jua..

p/s: Zaidah duk Johor area mana ye?

LiLy @ MumMyQiStInA berkata...

Mcm2 jer taktik yg digunakan utk hidup senang..Ishhh..cam takde cara lain jer..

mamalieyna berkata...

huhu..tak berkat idup cam gini kan..mana la mai idea cenggitu eh..herm..macam2x..

Ain berkata...

hidup senang dengan menipu memang tak lama....

sudahnya merana jugakkk....

Mamamya berkata...

ada juga org cenggini yerk...haih...byk lagi kerja halal yg blh di buat...

Zaidah berkata...

nida: diorang nie ambik kesempatan tu...


lily:memang...diorang sanggup menipu untuk dapatkan kemewahan kan...

mamalieyna: memang tak berkat sebab menipu

ain: tak berkat

mamamya: diorang nak kaya cepat..n hidup mewah...

yanti isa berkata...

sepandai - pandai tupai melompat ..akhirnya jatuh ke tanah jua

 
Direkacipta Oleh Ibu ComeL