Amy Search didenda RM18,000

1.5.10

KUALA LUMPUR: Amy Search diperintahkan Mahkamah Sesyen semalam, membayar ganti rugi RM18,000 kepada seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang melecur di bahagian belakang selepas terkena tomyam panas ketika makan malam, di Restoran Cheng Ho milik penyanyi itu.

Hakim Mahkamah Sesyen Sivil, Sabariah Othman membuat keputusan itu selepas mendapati Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman selaku majikan mempunyai liabiliti terhadap kecuaian yang dilakukan pekerjanya sehingga menyebabkan kecederaan terhadap Nik Muhammad Zakwan Nik Zahir.

 
Dalam penghakimannya, Sabariah berkata, Nik Muhammad Zakwan yang diwakili bapanya Nik Zahir Nik Mohd Idris selaku plaintif ada kedudukan dari segi undang-undang (locus standi) untuk meneruskan tindakan terhadap Amy (defendan).

 
Sehubungan itu Sabariah memerintahkan Amy membayar ganti rugi am berjumlah RM8,000 bagi tiga peratus kecederaan dialami Nik Muhammad Zakwan membabitkan kebakaran tahap satu dan dua, serta ganti rugi spesifik sebanyak RM10,000 bagi rawatan pemulihan.

 
Beliau turut memerintahkan plaintif membayar faedah sebanyak enam peratus kepada defendan di atas penghakiman itu.
Nik Zahir diwakili peguam Adnan Seman @ Abdullah dan Shahrul Azim Azmi manakala peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar bertindak bagi pihak Amy. Kedua-dua pihak tidak hadir di mahkamah.

 
Pada 24 September 2008, Nik Zahir mengemukakan saman bagi pihak anaknya kerana mendakwa pekerja Restoran Cheng Ho milik Amy di Wangsa Maju, cuai sehingga menyebabkan bahagian belakang badan anaknya melecur.

 
 
sumber:harian metro

0 conteng-conteng:

 
Direkacipta Oleh Ibu ComeL