HASAD DENGKI MENIMBULKAN PERMUSUHAN DAN PERSENGKETAAN

28.10.09




MARILAH kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dengan penuh keyakinan dan keikhlasan. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana kita hidup di dunia ini dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dengan berbagai-bagai nikmat, sama ada nikmat yang berbentuk kesenangan, kemewahan, keselesaan dan sebagainya. Tetapi kita jangan lupa bahawa ada pula insan lain yang hidup dalam kemiskinan dan kesusahan dan serba kekurangan. Walau bagaimanapun kesemuanya itu adalah qadak dan qadar Allah Subhanahu Wata'ala dalam melebihkan dan mengurangkan anugerah nikmat-Nya terhadap hamba-hamba-Nya kerana Allah Subhanahu Wata'ala lebih mengetahui apa yang baik untuk hamba-hamba-Nya.

Keadaan kehidupan manusia yang tidak sama inilah yang menimbulkan sifat iri hati dan hasad dengki pada diri manusia. Apakah yang dimaksudkan dengan hasad dengki? Hasad dengki itu adalah salah satu penyakit hati yang melahirkan rasa sakit hati dalam dirinya apabila melihat orang lain mendapat kesenangan atau kemuliaan, sebaliknya berharap agar kesenangan atau kemuliaan itu hilang daripada orang lain. Hasad dengki lahir dari perasaan cinta pada dunia dan lupa akan kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala. Hasad dengki tidak mengenal pertalian keluarga, tidak mengenal sahabat dan rakan kerja. Keluarga yang rapat menjadi renggang, sahabat yang akrab menjadi musuh, rakan sekerja menjadi tidak sehaluan, semua ini disebabkan perasaan hasad dengki.

Sifat yang keji ini jika dibiarkan bersarang dalam hati manusia tanpa dibendung sudah tentu akan membawa kebinasaan kepada diri sendiri dan juga masyarakat kerana dari hasad dengki inilah akan timbul sifat-sifat mazmumah yakni sifat yang keji seperti sifat meninggi diri (sombong), membangga diri, merasa tidak puas hati yang akibatnya akan menimbulkan permusuhan dan persengketaan.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya:

"Dari Anas, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Dengki itu memakan kebajikan, sebagaimana api membakar kayu api." (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).

Cuba kita renung dan jadikan iktibar para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang sedikit pun tidak memiliki perasaan dengki dengan kesenangan dan nikmat yang dikecapi oleh saudara-saudara mereka yang lain. Walaupun kehidupan mereka ada yang terlalu miskin, akan tetapi mereka sentiasa merasa lapang dan bersih serta tenang, mereka tidak pernah iri hati terhadap kesenangan orang lain hatta sesama mereka. Dengan sifat yang mulia ini mereka telah mendapat pujian dari Allah Subhanahu Wata'ala melalui firman-Nya di dalam Surah Al-Hasyr ayat 9 tafsirnya:

"Dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu. Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat."

Sebenarnya agama Islam amat melarang keras umatnya bersifat dengki kerana sifat dengki itu boleh memakan dirinya sendiri serta mendatangkan kesan yang buruk. Pada lazimnya orang yang bersifat dengki jiwanya tidak akan tenteram, sebaliknya sentiasa runsing dan resah gelisah, apatah lagi apabila melihat orang yang didengkinya itu semakin bertambah-tambah senang. Lain halnya keadaan seseorang yang mengharapkan nikmat yang sama yang ada pada orang lain dan tidak pula ia bercita-cita melenyapkan nikmat tersebut, sebaliknya ia berniat dan berusaha untuk mencapainya.

Bagi mencegah dan mengubati sifat dengki ini ada berbagai cara, antaranya :

Pertama : Kita hendaklah mengawasi diri dan menyedari bahawa penyakit hasad dengki boleh merosakkan diri.

Kedua : Kita hendaklah tahu mensyukuri nikmat yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dalam apa jua keadaan.

Ketiga : Jika kita melihat orang lain memperolehi nikmat atau kelebihan, kita hendaklah mengakui bahawa mereka memperolehinya dengan hasil usaha dan kurnia Allah Subhanahu Wata'ala.

Keempat : Hendaklah kita rajin bekerja, berikhtiar untuk mencari rezeki dan kurnia Allah Subhanahu Wata'ala.

Kelima : Janganlah kita membanding-bandingkan diri dengan orang yang lebih tinggi keadaannya.

Keenam : Sentiasalah kita berdoa memohon perlindungan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dari sifat hasad dengki.

Ketujuh : Jika masih didapati hasad dengki dalam diri kita, hendaklah bertaubat dan memohon ampun (beristighfar).

Oleh itu, ingatlah dan jauhilah daripada perbuatan hasad dengki yang dilarang oleh agama Islam, jangan sampai bersarang dalam hati kita kerana penyakit ini adalah satu sifat yang dibenci oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan membawa padah yang buruk kepada diri kita. Akhirnya sama-samalah kita berdoa semoga kita hidup dalam keadaan harmoni dan berkasih sayang, yang dengannya akan melahirkan masyarakat yang cemerlang dan bersatu padu. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Asy-Syuura ayat 27 tafsirnya:

"Dan jikalau Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendaki-Nya dengan ukuran. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui keadaan hamba-hamba-Nya lagi Maha Melihat."

0 conteng-conteng:

 
Direkacipta Oleh Ibu ComeL